0
'Kelayakkan Piala Asia Sukar'-Rajagopal
Posted by Unknown
on
1/17/2013
in
Sukan
MESKIPUN mengakui berdepan laluan sukar dalam saingan Kelayakan Piala Asia 2015, jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal tetap optimis dan berjanji akan memberi aksi terbaik pada kejohanan itu.
"Kita kena terima hakikat dalam saingan ini melibatkan pasukan yang kuat.
"Tapi, kita kena positif dan cuba melakukan yang terbaik," katanya kepada pemberita di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hari ini.
Skuad kebangsaan akan mengharungi kelayakan Piala Asia 2015 dalam Kumpulan D yang turut membabitkan pasukan dari Qatar, Bahrain dan Yaman.
Dalam pada itu, ketika mengulas keraguan peminat terhadap kemampuan skuad kebangsaan, Rajagobal menegaskan, beliau akan mengambil cabaran itu dan membuktikan tahap kemampuan skuad Harimau Malaya.
"Semua orang akan bercakap, tetapi kita perlu sentiasa optimis. Dalam perlawanan bola sepak, ada kalah dan menang. Sebagai jurulatih, siapa yang mahukan kekalahan. Kita harus berfikiran terbuka.
"Jadi, saya berharap kami akan melakukan sesuatu dan pemain harus bersedia dari segi mental dan fizikal," jelas beliau.
Pada masa sama, Rajagobal turut menegaskan, beliau tidak mengamalkan dasar tutup pintu, malah sentiasa mengutamakan pemain yang berjaya menampilkan persembahan mantap dalam saingan liga.
Katanya, peluang pemain lain untuk menyarung jersi pasukan Harimau Malaya masih terbuka luas.
"Setiap pemain ada peluang wakili skuad kebangsaan. Ramai orang cakap kenapa tidak ambil pemain itu dan pemain ini. Kita harus faham, level permainan peringkat domestik dan antarabangsa jauh berbeza.
"Mereka tidak terpilih bukan bermaksud tidak bagus tetapi perbezaan pengalaman yang memisahkan jurang antara pemain lain," ujarnya.
Tambah Rajagobal, "ada pemain ini sendiri akui dia tidak boleh sesuaikan diri dengan tahap perlawanan antarabangsa dan akur apa kehendak jurulatih."
"Apapun, saya akan pantau pemain yang bermain cemerlang pada saingan Liga Malaysia tahun ini,” katanya.
Sementara itu, dalam mengukuhkan prestasi pasukan FAM merancang mengadakan pertemuan persahabatan berdepan Iraq di Emiriah Arab Bersatu, 1 Februari ini.
Menurut Rajagobal, ini satu cabaran terbaik buat pemainnya menjelang pusingan kelayakan Piala Asia 2015 kerana Iraq antara pasukan terbaik di Asia.