0

Datuk Seri Shahidan Kassim Digantung 30 Bulan & Denda RM39,000.

Posted by Rashidy Shidy on 2/21/2013 in



Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) Datuk Seri Shahidan Kassim dikenakan hukuman penggantungan selama dua tahun setengah dan denda RM39,000 kerana didapati bersalah atas empat pertuduhan antaranya mengkritik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Hukuman itu diputuskan oleh Jawatankuasa Tataterbit FAM yang bersidang
hampir tiga jam di Wisma FAM, Kelana Jaya, dekat sini, hari ini.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh timbalan pengerusi jawatankuasa
berkenaan Ednan Othaman selepas pengerusinya Datuk Taufik Abdul Razak tidak
dapat hadir.
Jawatankuasa tersebut turut menetapkan bahawa Shahidan tidak boleh
mengemukakan rayuan.
Berikutan keputusan itu, Shahidan, bekas menteri besar Perlis, hilang status
sebagai presiden PFA, anggota Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM dan anggota
Jawatankuasa Kewangan FAM.
Ednan berkata Shahidan didapati bersalah melanggar Artikel 88 Statut FAM
iaitu berkaitan mengkritik pentadbiran badan induk bola sepak kebangsan itu.
“Hukuman terhadap Shahidan akan berkuat kuasa apabila dia (Shahidan)
menerima surat daripada FAM iaitu dalam tempoh 14 hari selepas tarikh hukuman
dijatuhkan hari ini,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu.
Dalam tempoh penggantungan itu, Shahidan dilarang terbabit atau memegang
jawatan dalam sebarang aktiviti berkaitan dengan bola sepak negara.
Atas pertuduhan pertama, Ednan berkata Shahidan dikenakan denda RM20,000
selepas didapati bersalah membuat kenyataan kepada media berkaitan hal ehwal
pentadbiran FAM tanpa kebenaran.



Susulan daripada penyiaran berita tersebut di bawah pertuduhan kedua,
Shahidan dikenakan denda RM10,000 dan digantung selama dua tahun kerana
berniat menghina, mengaibkan serta menjatuhkan imej FAM, katanya.
Shahidan turut didapati bersalah atas pertuduhan ketiga apabila mengeluarkan
kenyataan bercanggah atau tidak tepat dengan mana-mana keputusaan FAM dan beliau digantung selama enam bulan dan didenda sejumlah RM8,000.
Ednan berkata Shahidan turut didenda RM1,000 kerana tidak menjawab surat
tunjuk sebab selepas menerima surat pertuduhan bertarikh 1 Feb lepas yang
ditandatangani Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad.
“Dia (Shahidan) tidak bertanggungjawab dan dianggap menghina FAM apabila
tidak mengambil sebarang tindakan bagi surat pertuduhan yang dihantar oleh FAM,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) didenda
RM62,500 kerana gagal mengawal penyokong mereka pada aksi Liga Super antara
pasukan The Red Warriors dan Johor Darul Takzim di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baharu, 15 Jan lepas.
“KAFA tidak boleh membuat rayuan di atas hukuman berkenaan dan ia perlu
dijelaskan dalam masa 14 hari selepas menerima surat hukuman tersebut,” katanya.
Beliau berkata Kelantan berkemungkinan bermain tanpa kehadiran penyokong
sekiranya mereka mengulangi kesalahan sama pada aksi Liga Super seterusnya
menentang Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Sabtu ini.
“Pegawai Jawatankuasa Disiplin FAM akan memantau perlawanan berkenaan dan
sekiranya penyokong Kelantan gagal mengawal disiplin, maka kita akan mengambil
tindakan selanjutnya,” katanya. – BERNAMA

SUMBER

0 Comments

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Jom Tengok

Jom Tengok

OH ! Belog

Kartikel

Copyright © 2009 Pensel Tumpul All rights reserved. Theme by Laptop Geek. | Bloggerized by FalconHive.