airasia

KUALA LUMPUR – Tiga anak syarikat Kumpulan AirAsia diberikan markah terendah dari aspek keselamatan oleh senarai yang dikeluarkan AirlineRankings.com.

AirAsia Malaysia dan AirAsia Zest Filipina menerima penarafan tiga bintang, manakala AirAsia Indonesia hanya diberikan dua daripada tujuh bintang.

Senarai baru yang dikeluarkan ini mengambilkira semua yang berlaku dalam industri penerbangan global tahun lalu.

Menerusi jumlah bintang yang diberikan itu, Kumpulan AirAsia berada dalam kategori syarikat penerbangan paling berbahaya di dunia.

Insiden pesawat AirAsia Indonesia yang terhempas ke laut 28 Disember lalu antara punca tahap keselamatan syarikat penerbangan itu diragui.

Ia adalah tragedi yang melibatkan kematian pertama bagi Kumpulan AirAsia yang mempunyai anak syarikat hampir di kesemua negara Asia Tenggara.

Sementara itu, Malaysia Airlines, MAS yang berdepan dua tragedi besar tahun lalu membabitkan pesawat MH370 dan MH17, diberikan penarafan sederhana iaitu lima daripada tujuh bintang, lapor ABN News.

Menurut senarai itu, syarikat penerbangan dunia yang paling corot dengan hanya satu bintang ialah Nepal Airlines, Tara Air, Kam Air dari Afghanistan, SCAT Airlines dari Kazakhstan dan Lion Air dari Indonesia.

Kesemua lima syarikat penerbangan itu telah pun diharamkan oleh Kesatuan Eropah. Sementara itu, 149 penerbangan lain menerima penarafan tertinggi tujuh bintang, manakala 59 lagi memperoleh enam bintang.